Skip to main content

SEJARAH SMKFN

Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Neram, Kemaman terletak kira-kira 63 km daripada bandar Chukai, Kemaman dan merupakan sekolah menengah yang ke-12 di daerah Kemaman.Sekolah yang dibina atas lot tanah seluas 8 hektar ini asalnya adalah kawasan ladang sawit milik dua orang peneroka Blok 14, Felda Neram Satu. Rancangan pembinaan sebuah sekolah menengah di kawasan Felda Neram seringkali tertangguh kerana ketiadaan kawasan yang strategick. Setelah kawasan dikenalpasti, masalah lain pula timbul kerana kawasan tersebut adalah kawasan ladang sawit milik dua orang peneroka. Akhirnya, demi kepentingan semua pihak, En Muhammad bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Abas oleh masyarakat di sini beserta seorang balu iaitu Pn. Esah bt Merah telah menyerahkan ladang mereka untuk dibangunkan sebuah sekolah menengah.

Sekolah ini telah dibuka pada 1 Jun 2002 dan kumpulan pelajar pertama SMK Felda Neram seramai 345 orang telah memulakan persekolahan pada 16 Jun 2002. Pada tahun pertama, seramai 22 orang guru, 3 orang kakitangan sokongan, 8 orang pekerja swasta serta 2 orang Pengawal Keselamatan menjadi tunggak sekolah.

Pak Abas dan Puan Esah pula telah diberikan kawasan ladang sawit yang baru dan sedikit pampasan. Sungguhpun yang patah, tetap akan tumbuh, yang hilang pasti berganti, namun yang tumbuh dan yang hilang selalunya tidak akan sama dengan yang patah mahupun yang hilang dahulu. Kemurnian hati kedua-orang peneroka ini telah menyenangkan masyarakat di sini kerana anak-anak mereka tidak perlu lagi ke SMK Cheneh Baru yang letaknya kira-kira 25 km semata-mata untuk menuntut ilmu.

Pengambilan pertama pelajar di sekolah ini bermula pada 1 Jun 2002. Kumpulan perintis ini diambil daripada anak-anak peneroka Felda Neram Satu yang bersekolah di SMK Cheneh Baru. Sementara itu, sebahagian besar guru juga daripada sekolah tersebut. Sekolah ini bermula dengan tingkatan 1 dan 2 serta dua kelas tingkatan 4. Memandangkan jumlah pelajar yang sedikit dan bilangan kelas yang mengcukupi, sekolah ini dijalankan dalam satu sesi sahaja iaitu sesi pagi. Memandangkan persamaan rumpun bangsa iaitu Melayu dan latar belakang sosioekonomi yang sama, maka tidaklah sukar untuk para guru dan pentadbir sekolah untuk menguruskan pelajar SMK Felda Neram.

Bermula daripada 16 Jun 2002 sehingga 10 Ogos 2003 iaitu selama lebih kurang satu tahun dua bulan, sekolah ini diterajui oleh En. Mahzan bin Hamzah iaitu Penolong Kanan Pentadbiran. En. Mahzan bin Hamzah telah dilantik oleh Jabatan Pelajaran Terengganu untuk menjalankan tugas sebagai pengetua. Ketibaan Pengetua pertama yang dinanti-nantikan oleh warga sekolah iaitu En. Abdul Rahman bin Husin yang melapor diri pada 10 Ogos 2003, telah memberi satu sinar baru kepada warga sekolah. Dengan motto sekolah iaitu “Ilmu, Budi dan Jasa”, En. Abdul Rahman mengharapkan agar pelajar-pelajar sekolah ini sentiasa ‘Berkembang maju akal dan minda, bersemarak budi dan jasa’. Banyak agenda pembangunan sekolah telah direncanakan dengan licin dan berkesan. En. Abdul Rahman bin Husin telah berkhidmat di SMK Felda Neram sehingga 1 Februari 2006. Seterusnya, SMK Felda Neram menerima perubahan yang baru apabila diurus oleh seorang pengetua perempuan. Pengetua SMK Felda Neram mulai 1 Februari 2006 hingga kini ialah Puan Hajjah Wan Kembang binti Jusoh.

Pentadbiran baru sekolah telah menyaksikan perubahan baru kepada misi dan visi sekolah. “Sentiasa Cemerlang dan Unggul” menjadi visi SMK Felda Neram mulai tahun 2006. Melalui visi sekolah, Pn. Hjh Wan Kembang mengharapkan agar pelajar-pelajar SMK Felda Neram sentiasa menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang, baik akademik, kokurikulum mahupun sahsiah diri. Mulai 1 November 2007, SMKFN mula ditadbir oleh pengetua yang baru iaitu Tn. Hj Mazlan bin Ahmad, yang menggantikan Pn. Hjh Wan Kembang Jusoh yang bertukar ke SMK Bukit Mentok, Kemaman.

Sekolah yang baru setahun jagung dibuka ini telah telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Pada tahun 2004, dua orang pelajar telah menunjukkan pencapaian yang baik dalam bidang kokurikulum apabila mereka berjaya mewakili pasukan Kadet Polis Terengganu ke kor Kadet Polis peringkat kebangsaan dan telah berjaya mendapat naib johan dalam acara jalan lasak. Kecemerlangan dalam kokurikulum juga terbukti apabila jaguh-jaguh silat olahraga sekolah telah berjaya menjadi johan pertandingan silat peringkat negeri Terengganu sekaligus mewakili Pasukan Terengganu ke pertandingan silat peringkat kebangsaan.

Kecemerlangan dalam bidang kurikulum atau akademik pula terbukti apabila seorang pelajar pertama telah mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2005. Pada tahun 2006 pula peningkatan telah berlaku apabila dua orang pelajar telah mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan PMR.

Pada tahun 2007, sekali lagi warga SMK Felda Neram boleh berbangga kerana seorang pelajar telah mewakili pasukan bola baling negeri Terengganu dan pasukan tersebut telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan bola baling MSSM bagi kategori P15. Seorang pelajar perempuan juga telah mewakili pasukan negeri Terengganu ke Pertandingan e-PPDa yang julung kali diadakan, dan telah berjaya menggondol tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Ternyata, kerja kuat dan semangat warga sekolah telah membawa pelajar-pelajar kawasan Felda ini sehingga ke peringkat kebangsaan.

Jumlah pelajar sekolah ini telah meningkat dengan enrolmen pelajar pada tahun 2007 ialah seramai 530 orang. Manakala jumlah tenaga pengajar pula ialah 35 orang, 8 orang kakitangan sokongan, 12 orang pekerja swasta dan 3 orang pengawal keselamatan.

Popular posts from this blog

Majlis Sambutan Pengetua

Assalamualaikum dan salam sejahtera warga TENSES. Pada 8 Oktober 2017 iaitu pada hari Ahad, warga TENSES bertuah didatangi Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Tuan Idris Bin Bidin serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman Tuan Haji Abdul Rahman Bin Kadir. Kedatangan tuan berdua bagi menyambut kehadiran Pengetua, Pn. Wan Naaimah Binti Wan Zainal Abidin yang baru dilantik menjadi pengetua di SMK Felda Neram. Ucapan tahniah dan gembira daripada pihak TENSES dengan kehadiran Puan Pengetua. Semoga memberi kekuatan kepada semua warga TENSES bagi mencapai kejayaan dalam kurikulum dan kokurikulum. UNTUK mengetahui segala makluman dan informasi mengenai aktiviti SMK Felda Neram, sila sertai Channel Telegram TENSES [TEA2030] melalui link http://telegram.me/smkfeldaneram [UNIT SERANTA DAN DOKUMENTASI TENSES]

KEJOHANAN OLAHRAGA DAN BALAPAN MSSD KEMAMAN 2013

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia. Kontigen SMK Felda Neram telah dihantar bagi menyahut cabaran di temasya Kejohanan Olahraga dan Balapan MSSD Kemaman. Kejohanan tersebut berlangsung di SMK Sultan Ismail, Kemaman pada 17 hingga 20 Mac 2013 telah menyaksikan kontigen SMK Felda Neram mendapat 2 Emas, 1 Perak dan 6 Gangga. Pencapaian tersebut merupakan pencapaian yang terbaik sepanjang 5 tahun. Tahniah kepada semua pelajar yang bersungguh-sungguh sepanjang menjalani latihan sehingga ke kejohanan. Terima kasih diucapkan kepada guru-guru yang bertungkus lumus dalam memastikan SMK Felda Neram mendapat pingat. Semoga TENSES terus GEMILANG! Untuk melihat lebih banyak lagi gambar, sila layari  https://www.facebook.com/media/set/?set=a.564063316957974.1073741830.298949840135991&type=1